Selasa, 17 Januari 2012

Penuntut cuba bunuh teman wanita

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut di sebuah kolej swasta hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas tuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan menikam perut wanita itu menggunakan sebilah pisau, minggu lepas.

Osleh Osman, 20, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut kertas pertuduhan, Osleh yang tinggal di Pandan Indah, Ampang Jaya di sini didakwa menikam Nor Azlin Yusuf, 20, di sebelah kiri perutnya dengan menggunakan sebilah pisau sehingga boleh menyebabkan kematian terhadap mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat Kolej Ican, Tingkat 10, Menara Maxis Segar, Jalan Pandan Indah 4/2, Pandan Indah, Ampang Jaya di sini pada 10.30 pagi, 11 Jan lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan