Khamis, 19 Januari 2012

Penganggur dituduh culik, bunuh ahli perniagaan Singapura

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan warga Singapura di bandar raya ini, November lepas.

S. Periasamy, 36, dituduh dengan niat menahan Sim Chee Yong, 56, dengan cara melarikan dan menghalang mangsa bagi mendapatkan tebusan sebanyak RM800,000 di Jalan Tun Abdul Razak di sini, kira-kira 11 malam, 26 Nov tahun lepas.

Dia turut dituduh dengan niat membunuh Sim di muara Sungai Kong Kong, Masai di sini, antara pukul 3 pagi, 30 Nov sehingga 11.30 pagi, 1 Dis lepas.

Dia dituduh bersama-sama dengan lima yang lain yang telah dituduh di mahkamah ini pada 11 Jan lepas.

Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Periasamy mengangguk faham terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Isa Mohamad, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil dan Periasamy diwakili peguam Iszam Kamal Ismail. Mahkamah menetapkan 1 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik. /sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan