Ahad, 22 Januari 2012

Duda disimbah asid, dua pelajar ditahan

KOTA BHARU: Polis menahan dua pelajar lelaki berusia 16 tahun awal hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang duda disimbah asid di Tendong, Pasir Mas dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, dua pelajar itu, tinggal di Wakaf Bharu, Tumpat ditahan kira-kira 2.35 pagi tadi.

Kedua-dua suspek itu ditahan reman tujuh hari mulai hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata polis sedang menyiasat punca kejadian itu.

Dalam kejadian 12.15 pagi Ahad lepas, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah di muka akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid, dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dalam keadaan stabil.

Berikutan kejadian itu, polis menahan dua wanita dipercayai bekas isteri duda terbabit di dua tempat di Tumpat pada hari sama.

Seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lepas./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan