KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan senyum bersahaja ketika diiringi polis keluar Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas dijatuhi hukuman 10 tahun penjara.
Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha bersabit kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun 9 bulan di sini, dua tahun lalu, mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mohamad Yuzwan Hamat, 26, dari Kampung Bukit Tiu, Machang mengaku bersalah merogol kanak-kanak terbabit di sebuah bilik di kampung sama antara jam 11 malam, 20 Januari 2010 dan 1 pagi, keesokan harinya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa masuk ke bilik tidur bersama adik perempuan tertuduh di rumah kakak iparnya di alamat berkenaan. Tertuduh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu ingin berjumpa mangsa sebelum masuk melalui tingkap serta merogol mangsa ketika adiknya sedang tidur.
Pada petang keesokan hari pengadu menceritakan kejadian itu kepada kakak iparnya dan pengadu kemudiannya membuat laporan polis. Tahu tentang laporan itu, tertuduh bertindak melarikan diri dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah bank di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, selepas dua tahun, tertuduh berjaya ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 4 Januari lalu.
Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali memohon hukuman berat terhadap tertuduh berdasarkan faktor usia mangsa yang masih di bawah umur./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan