PORT DICKSON: Seorang ayah bersama dua anaknya lelakinya melalui pengalaman sedih apabila menyaksikan anak perempuannya dirogol di sebuah rumah kosong di taman perumahan di sini, dalam satu kejadian kira-kira jam 10 malam, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, kejadian itu bermula apabila mangsa yang berumur 21 tahun bersama sepupu perempuannya berusia 18 tahun dipelawa dua lelaki untuk minum bersama sekitar jam 8.30 malam.
Menurutnya, mangsa bersama sepupunya bersetuju dan lelaki terbabit yang dipercayai kenalan mangsa membawa mereka berdua ke sebuah rumah kosong di sebuah taman perumahan.
“Mangsa dipercayai diberikan sejenis minuman memabukkan sehingga mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, semalam.
Baljeet berkata, walau bagaimanapun, sepupu mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan dengan pergi ke rumah mangsa.
“Ayah, abang dan adik mangsa tiba di lokasi kejadian ketika jenayah (rogol) tersebut berlaku.
“Suspek berjaya ditahan sementara seorang lagi melarikan diri. Suspek direman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut dan polis masih memburu seorang lagi suspek yang masih bebas. Kes di siasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol,” katanya.
Dalam pada itu, Baljeet turut menegaskan orang ramai terutamanya perempuan untuk tidak sewenang-wenangnya terpengaruh dengan ajakan lelaki sama ada kenalan atau tidak lebih-lebih lagi apabila diajak ke kawasan terpencil.
Dalam perkembangan lain, Baljeet dalam Operasi Cegah Jenayah mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutamanya ketika musim perayaan ini.
“Jika membawa wang dalam kuantiti yang banyak elakkan berjalan berseorangan dan segera membuat laporan polis jika sedar diekori oleh orang tidak dikenali atau mencurigakan.
“Pengurusan bank juga perlu memainkan peranan mereka untuk menasihatkan pelanggan mereka agar melakukan langkah berjaga-jaga dan tidak cuai sehingga boleh mengundang jenayah,” katanya semalam ketika melakukan operasi tinjauan ke beberapa buah bank di Bandar Port Dickson.
Katanya, orang ramai terutamanya warga emas yang melakukan urusan bank menunaikan cek Bantuan Rakyat 1 Malaysia juga perlu ditemani oleh anak atau kenalan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan