KUALA LUMPUR: Anggota polis berpangkat lans koperal dan penganggur semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap dua pertuduhan melakukan samun barangan berharga, termasuk rantai emas dan wang tunai RM300, bulan lalu.
Bagi pertuduhan pertama anggota polis itu, Mohammad Fazlezan Abu Bakar, 30, dan Mohammad Khairul Ilmi Roslan, 18, serta tiga lagi yang masih bebas, didakwa melakukan samun iaitu seutas jam tangan, sebentuk cincin, wang tunai RM300 serta telefon bimbit jenis Nokia N70 milik pekerja kolam renang, Mah Hon Ming, 29.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 3, Blok 1, Jalan 20/2A, Taman Wilayah, Sentul dekat sini pada jam 2.30 pagi, 26 Disember 2011.
Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Fazlezan dari Kedah dan Mohammad Khairul Ilmi dari Perak bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa menyamun dua komputer riba jenama Acer dan Fujitsu, sebuah PI Wimax, tiga utas jam tangan, dua unit cakera keras komputer, seutas rantai emas milik Heong Yeok Teng, 19.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen dan kanun yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan