KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan reman pasangan suami isteri selama lima bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes melepaskan tembakan rambang di Kedai Mulong dekat sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata, pasangan yang bekerja sebagai penjual ikan itu ditahan jam 7 petang semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa sejurus selesai membuat laporan polis.
Menurutnya, lelaki berusia, 34 tahun yang beralamat di Bandar Lama Machang itu dikatakan datang ke IPD Kota Bharu bersama isterinya, 31, untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan diserang di Terminal Agribisnes Negara, Tunjong.
“Kedua-duanya ini datang memaklumkan mereka dikatakan diserang oleh majikan mangsa kes tembak rambang terbabit dan mereka juga mendakwa salah seorang pekerja majikan berkenaan cuba melanggarnya.
“Kita menahan kedua-duanya ini kerana disyaki sebagai individu yang mengupah tiga lagi lelaki lain untuk melakukan kegiatan tersebut. Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan berhubung laporan ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, seorang tukang masak, Mohd Shari Yusof, 32, nyaris maut apabila satu daripada tiga das tembakan rambang menembusi lengan kirinya dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan.
Idris berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum ini terdapat perselisihan faham antara majikan mangsa tembak dan juga pasangan suami isteri yang ditahan berkaitan perniagaan.
Katanya, setakat ini tiada pengakuan direkodkan oleh kedua-duanya dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan tiga lelaki berusia lingkungan 20-an yang dikaitkan dengan kejadian lepas tembakan tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana niat cuba menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan