AYER KEROH: Seorang gadis parah ditikam teman lelakinya, di belakang sebuah restoran di Lebuh Ayer Keroh di sini, malam kelmarin, dipercayai akibat cemburu.
Norzila Alismadi, 22, pekerja restoran makanan segera, ditikam dua kali di perut dengan pisau selepas diacukan senjata tajam itu di leher dan ditendang, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam.
Lelaki yang berusia 23 tahun itu dipercayai mencederakan dirinya sendiri selepas menikam mangsa. Dia cedera di betis kiri. Mangsa ditemui berlumuran darah di situ.
Kejadian berlaku selepas mangsa berjumpa dengan suspek di belakang restoran itu sebelum memulakan kerja.
Suspek dipercayai cemburu kerana Norzila mempunyai kawan lelaki lain.
Ibu mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, dia mengetahui anak kelima daripada enam beradik itu ditikam selepas adik mangsa, Suzila, 21, yang juga pekerja restoran berkenaan, memaklumkan kepadanya mengenai kejadian itu.
“Ketika itu, saya baru lepas berjumpa doktor kerana demam. Pada jam 5 petang tadi (kelmarin), suspek ada datang ke rumah dan masuk tanpa memberi salam.
“Masa itu kami sedang menonton televisyen dan dia ambil telefon bimbit anak saya yang sedang dicaj dan terus keluar,” katanya.
Menurutnya, dia mengejutkan anaknya yang sedang tidur masa itu untuk memaklumkan tindakan suspek mengambil telefonnya.
“Anak saya cuba menghubungi suspek, tetapi panggilannya tidak berjawab.
“Saya tidak sangka kejadian ini berlaku kerana suspek tidak pernah kurang ajar dan selalu mengambil serta menghantar anaknya pulang bekerja,” katanya.
Sementara itu, Suzila berkata, dia diberitahu seorang rakan sekerja, kakaknya ditemui berlumuran darah di belakang restoran terbabit.
“Kakak dan suspek berkawan hampir lapan bulan dan kakak pernah beritahu, dia mahu memutuskan hubungan dua bulan lalu dengan alasan, teman lelakinya, duda anak satu, sering menyusahkannya.
“Kakak kata, dia terpaksa menanggung kehidupan teman lelakinya dan membayar wang ansuran kereta suspek yang menganggur,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehudin Abd Rahman, yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek sudah direman sehingga 12 Januari ini untuk membantu siasatan.
Katanya, polis percaya motif kejadian adalah cemburu.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Mangsa kini dirawat di Hospital Melaka./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan