TAMPIN: Hanya kerana mengarahkan suspek untuk menukarkan pakaian kepada pakaian lokap, seorang anggota polis dekat sini dibelasah menggunakan sebuah kerusi kayu.
Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian, suspek iaitu seorang lelaki berusia 20-an ditahan polis di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana dipercayai memasukkan dadah ke dalam badan.
Berikutan kejadian, anggota polis berkenaan membuat laporan di Balai Polis Tampin pada 7 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin ketika anggota polis berkenaan mengarahkan suspek untuk menukar pakaiannya kepada pakaian lokap.
“Ketika itu, anggota polis tersebut melakukan prosedur biasa mengiringi suspek ke lokap dan sebaik sahaja masuk ke dalam lokap, gari suspek dibuka.
“Kemudian, anggota polis berkenaan menghulurkan pakaian lokap untuk ditukar, namun suspek berang sebelum mencapai sebuah kerusi kayu lalu menyerang anggota polis itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kedua belah tangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kooi Cheang berkata, insiden itu berjaya dileraikan dengan bantuan beberapa anggota polis lain yang bertugas dan selang beberapa minit kemudian, anggota polis yang cedera membuat laporan polis.
“Suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama seminggu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan penjawat awam dari menjalankan kewajipan.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau keduanya sekali dan suspek bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin, Isnin ini,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan