ALOR SETAR: Seorang guru sandaran, yang mendakwa tidak tahan didera hampir setahun oleh suaminya seorang penagih dadah, nekad melarikan diri dan memohon Kementerian Pelajaran meluluskan pertukarannya atas faktor keselamatan.
Siti Muniroh Mohd Shukri, 31, berkata, selepas melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah bersama anak lelakinya yang berusia sembilan bulan pada 22 Julai tahun lepas, gajinya ditahan sehingga kini.
"Suami saya Aldin Osdam, 31, yang terjebak dengan najis dadah pada 2010, sangat cemburu, mengurung dan memukul saya saban hari. Dia juga meminjam dengan Ah Long, mohon kad kredit dan beli kereta guna nama saya.
"Apabila tidak jelaskan hutang, saya jadi mangsa, diterajang dan disepak hampir setahun,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah bapanya di sini hari ini.
Siti Muniroh nekad melarikan setelah berbincang dengan Guru Besar Sekolah Rendah St Dominic di Lahat Datu, tempat beliau bertugas, manakala ibu mertuanya membelikan tiket penerbangan ke Alor Setar.
Sebelum melarikan diri, beliau membuat laporan polis di Lahat Datu sebanyak dua kali selain ke Mahkamah Syariah untuk menuntut cerai.
Siti Muniroh berkata, Aldin yang dipenjara tiga bulan di Lahat Datu kerana kesalahan dadah akan dibebaskan 8 Januari ini dan telah menghubunginya tiga hari lepas serta mengugut hendak ”menyembelih” beliau jika terjumpa di Sabah.
Beliau berkata, laporan mengenai ugutan itu telah dibuat di Balai Polis Alor Setar.
“Atas faktor keselamatan diri untuk kembali bertugas di Lahat Datu, saya memohon pihak berkenaan di Kementerian atau Jabatan Pelajaran menimbang kes saya dengan wajar.
"Sahabat bapa saya, Redzuan Ishak telah tiga kali membawa saya dan bapa ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya menemui pegawai bahagian pertukaran” katanya.
Siti Muniroh juga membuat permohonan secara dalam talian kepada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Sabah selain bertemu pegawai Jabatan Pendidikan Kedah serta kaunselor. Sehubungan itu, beliau merayu masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin memandangkan statusnya sebagai guru sandaran terlatih dan belum disahkan jawatan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan