SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat ditetak di beberapa bahagian badan sebelum ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Jalan Kebun, Batu 7 1/2, Kuala Langat, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 8 malam, sebelum anggotanya ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, siasatan menunjukkan mayat lelaki yang masih lengkap memakai jaket hitam serta berseluar panjang itu ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan di kawasan terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa mati akibat ditetak dipercayai menggunakan objek tajam di bahagian leher, perut serta pinggang.
“Mangsa mati kurang tempoh 24 jam ketika mayatnya ditemui dan kita tidak jumpa sebarang senjata digunakan mencederakan mangsa yang dipercayai berumur lingkungan 30 ke 40-an itu.
“Siasatan juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa. Bagaimanapun terdapat sebuah motosikal jenis Honda Dash berwarna merah putih ditinggalkan kira-kira dua atau tiga meter dari lokasi mayat mangsa dijumpai,” katanya kepadaSinar Harian, semalam.
Nordin berkata, semakan ke atas kenderaan itu menunjukkan ia didaftarkan atas nama seorang warga Indonesia, Rianto dan beralamat di kawasan Seksyen 26, Shah Alam.
“Kita percaya motosikal itu mungkin milik mangsa kerana berada tidak jauh dari mayat,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti motif sebenar pembunuhan.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali individu yang menyerangnya, selepas berlaku pergelutan sehingga dia dibunuh.
Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mengenali individu bernama Rianto atau mempunyai maklumat berhubung kejadian, diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan