KULIM: Sepasang kekasih yang ditangkap kerana berkhalwat di sebuah rumah teres kira-kira jam 10.30 pagi pada 19 November lalu telah dihadapkan ke mahkamah, namun kini si lelaki menjadi buruan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) dan polis kerana dia gagal membayar wang jaminan diri yang diarahkan oleh Mahkamah Syariah Rendah Kulim.
Ketua Unit Penguatkuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pasangan itu dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan kes dan mahkamah mengarahkan mereka membayar RM1,000 setiap seorang, namun lelaki berkenaan gagal membuat sebarang pembayaran.
“Sebelum ini pasangan itu ditahan dan akan disiasat bawah Seksyen 9 kerana berkhalwat di sebuah rumah teres satu tingkat di sebuah taman perumahan dekat sini. Ketika serbuan dibuat, si lelaki dan perempuan berada di ruang tamu di mana mereka dialas dengan 'toto' manakala bapa kepada perempuan berkenaan tidur di dalam bilik. Mereka kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan. Kelmarin, PADK telah membawa kedua pasangan terlibat ke mahkamah bagi mendengar sebutan kes.
"Mahkamah Syariah Rendah Kulim, kemudiannya mengarahkan pasangan itu membayar RM1,000 setiap seorang bagi tujuan menjamin diri dan sekiranya ingkar berbuat demikian mereka akan ditahan reman di Penjara Alor Setar sehingga perbicaraan dijalankan terhadap diri mereka. Apa yang menjadi masalah sekarang ini, waris perempuan dikatakan melarikan pasangan itu tanpa pengetahuan PADK dan mahkamah,” katanya.
Menurutnya, waris pasangan perempuan turut mempertikaikan tangkapan yang dibuat oleh PADK termasuk keputusan mahkamah mengenai pembayaran wang jaminan yang diarahkan.
"Mereka memperkecilkan perundangan ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan menyatakan anak perempuan mereka dan kekasihnya itu tidak bersalah.
"Waris turut menimbulkan suasana tegang di sekitar kawasan mahkamah dan terus kecam mahkamah tidak bersikap toleransi kerana mengenakan jumlah pembayaran wang jaminan diri yang tinggi," katanya.
Beliau berkata, pada jam 11 malam kelmarin, empat anggota penguatkuasa PADK pergi ke rumah pasangan itu dan mendapati mereka tidak berada di rumah.
Katanya, waris yang ada dalam rumah memaklumkan anak perempuan mereka telah keluar bersama kekasihnya itu untuk membeli makanan.
"Saya kecewa dengan sikap waris yang tidak menghormati pegawai PADK yang datang untuk melaksanakan waran menahan terhadap pasangan itu. Mereka telah mencabar PADK dan mengeluarkan pelbagai tohmahan. PADK tidak ada pilihan lain selain memaklumkan perlakuan agresif mereka itu kepada polis.
"Waris seperti bersubahat bersama pasangan itu dari ditangkap. Sehingga jam 4 pagi, pasangan itu masih gagal ditemui dan tidak menyerahkan diri di Balai Polis Kulim sepertimana diarahkan maka satu laporan polis telah dibuat dan waran menahan suspek akan dilanjutkan," katanya.
Beliau meminta lelaki berkenaan menyerahkan diri dengan segera ke PADK sebelum tindakan lanjut diambil terhadap dirinya.
Katanya, selain disiasat kerana berkhalwat, lelaki itu boleh berhadapan dengan tuduhan mengingkari arahan mahkamah serta melarikan diri dari membayar wang jaminan dan kesalahan ini boleh dipenjarakan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan