Jumaat, 26 November 2010

Pekerja ladang dibelasah meninggal dunia


KUANTAN: Selepas 24 jam koma, pekerja ladang yang dibelasah sekumpulan lelaki kerana dituduh mencuri, A Ravi, 35 meninggal dunia semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). 


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Ladang Jabor, GS Magespran berkata, Ravi meninggal dunia kira-kira jam 12.44 pagi semalam. 


“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada polis kerana memberi kerjasama yang baik kepada keluarga ini dan berharap mereka yang melakukan kesalahan menerima balasan setimpal,” katanya. 


Beliau berkata, mayat mendiang Ravi akan dibakar pusat pembakaran mayat Jalan Bukit Ubi jam 10 malam ini. 


Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, Ravi dari Taman Datuk Rashid ditangkap penduduk kampung kerana dituduh mencuri di sebuah tokong dekat Jabor dua hari sebelum itu. 


Akibat pukulan itu menyebabkan mendiang cedera parah di bahagian dalaman dan pendarahan pada otak. 


Mangsa yang bekerja sebagai penyembur racun di sebuah ladang Kampung Perangsing Jabor di bawa ke pondok polis dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada keluarganya. 


Sehubungan itu, ibunya, Thilagam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 6.13 pagi. 


Thilagam sebelum itu hairan bagaimana anaknya sahaja yang dipukul sedangkan dia diberitahu anaknya ditangkap bersama dua lagi rakan lain./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan