Khamis, 25 November 2010

Dua konstabel cuba rasuah bekas pengarah BPR dipenjara

KUALA LUMPUR: Dua konstabel masing-masing dihukum dua tahun penjara dan denda RM10,000 atas tuduhan cuba memperoleh RM1,000 daripada bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Wilayah Persekutuan, empat tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Mohd Nor Hisham Mhd Zin, 25, dan Abdi Abdul Mahat, 28, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap tuduhan pada akhir pembelaan yang dihadapi.

“Selepas meneliti keterangan kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati tiada keraguan munasabah yang timbulkan pihak pembelaan dan berikutan itu mereka didapati bersalah,” katanya.

Selain itu, beliau memerintahkan mereka dihukum tambahan enam bulan penjara, sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Mereka kelihatan tenang mendengar keputusan itu, tetapi kelihatan ahli keluarga tertuduh menangis teresak-esak.

Mereka didakwa secara rasuah cuba memperoleh wang itu daripada Datuk Abu Zubir Mahfodz sebagai dorongan bagi melepaskan seorang wanita Indonesia, Ita Rafika Ismail yang ditangkap kerana dikatakan menggunakan visa tamat tempoh dan tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

Kesalahan dilakukan di Stesen Minyak BP, Jalan Genting Klang 2, Jalan Genting Klang, Setapak di sini, jam lebih kurang 9.30 pagi, 29 Mac 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. Terdahulu peguam Avino Hasbi yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya.

“Mereka berdua penanggung tunggal keluarga yang perlu menyara anak, isteri dan ibu bapa. Tambahan pula, sepanjang berkhidmat sebagai polis mereka mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih.

“Mereka juga insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Sebagai penjawat awam yang menjaga keamanan negara, sepatutnya mereka menjadi contoh kepada masyarakat. “Sebaliknya tindakan mereka menjejaskan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penjawat awam lain di mata masyarakat,” katanya.

Sementara itu, mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan dibenarkan mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan di Mahkamah Tinggi./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan