SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dan dua lagi yang berpangkat Lans Koperal, masing-masing dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana menerima rasuah daripada seorang pemilik kafe, lapan tahun lepas.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Tetuduh pertama, Koperal Abd Aziz Mohd Din, 48, dan tertuduh kedua, Lans Koperal Saadon Khamis, 52, didakwa bersama-sama menerima suapan RM1,500 daripada seorang pemilik kafe, Sharifah Asna Syed Hashim Idid sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Sharifah Asna yang dikatakan mempunyai pekerja asing tanpa permit.
Tertuduh ketiga Lans Koperal Shafie Ariffin, 47, pula didakwa menerima suapan RM1,000 daripada Sharifah Asna untuk tujuan sama.
Ketiga-tiga mereka yang ketika itu bertugas di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kafe Ceria, USJ, Subang Jaya, Selangor, kira-kira pukul 2.30 petang, 15 Oktober 2002.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan