JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan kesan kelaran pada leher Rohana Hamzah, 26, yang ditemui mati di rumah sewanya di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram di sini, Isnin lalu, disebabkan penggunaan senjata tajam.
Pengesahan itu berdasarkan hasil laporan bedah siasat dijalankan terhadap mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, suami mangsa berusia 24 tahun yang juga suspek utama kes, direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.
“Kes masih dalam siasatan manakala soal siasat terhadap suspek masih diteruskan dan tiada individu lain terbabit dengan pembunuhan itu.
“Motif serta punca sebenar kejadian masih belum dapat ditentukan dan orang ramai diminta bersabar selain memberi ruang kepada kami untuk menjalankan siasatan,” katanya, semalam.
Dalam kejadian itu, Rohana ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh pemilik rumah berkenaan.
Lebih menyayat hati, mangsa juga sedang mengandung sebulan dan kejadian berlaku pada ulang tahun ke-5 perkahwinan pasangan berkenaan.
Bapa mangsa, Hamzah Mohamad, 51, mendakwa pasangan berkenaan sering bertengkar manakala menantunya pula panas baran, cemburu selain pernah memukul anak kesayangannya itu./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan