Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil siasatan awal mendapati kematian mangsa, R Vilvasamy, 52, tiada unsur jenayah mahupun khianat.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 1 tengah hari semalam oleh orang awam.
“Setakat ini, kita klasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut atau bunuh diri kerana punca sebenar hanya dapat dipastikan selepas bedah siasat dibuat.
"Motosikal mangsa juga turut ditemui berhampiran ladang berkenaan, tidak jauh dari mayat suspek tergantung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, isteri mangsa, V Mageswari, 50, berkata, suaminya tidak pulang ke rumah selepas memberitahu untuk ke kedai berhampiran.
Menurutnya, selepas suaminya tidak pulang seperti biasa, dia segera menghubungi ahli keluarga terdekat untuk membantu menjejaki Vilvasamy.
"Kematiannya sukar untuk diterima kerana sebelum kejadian tiada sebarang masalah berlaku antara kami," katanya.
Mageswari yang tinggal di Lorong Masjid, Kampung Bahagia, di sini berkata, selepas kejadian itu, satu laporan polis dibuat untuk meminta bantuan daripada pihak berkuasa.
Sementara itu, menantu mangsa, V Logeswari, 21, berkata, sebelum kejadian dia ada menemui mangsa yang mengadu sakit perut.
Menurutnya, ketika itu mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan sempat ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
“Bila dapat tahu dia hilang, saya bersama saudara lain pergi mencari dan usaha kami berbaloi apabila menemui mangsa.
“Penemuan itu sangat mengejutkan dan saya sendiri tidak menyangka kejadian seperti ini boleh berlaku,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan