Selasa, 30 November 2010

Bangla mati perut terburai

KAJANG: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan perut terburai selepas dipercayai ditikam di Sungai Tekali, Batu 14, Hulu Langat, di sini, semalam.

Mayat Azmol Hussain berusia 30-an ditemui dalam hutan bersebelahan sungai oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin daripada orang awam yang menyaksikan kejadian bunuh itu.

“Saksi mendakwa melihat seorang lelaki berlari sambil memegang perutnya. Saksi yang pelik melihat mangsa berlari mendapati dia dikejar sekumpulan empat lelaki yang menunggang tiga motosikal.

“Mungkin kerana takut, mangsa terjun dari jambatan kira-kira 100 meter berhampiran sungai itu. Saksi menghubungi polis sebelum sepasukan penyelamat dihantar ke tempat kejadian,” katanya pada sidang media di IPD Kajang, di sini, semalam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati tompokan darah pada permukaan jalan sebelum pasukan menyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai pasport dan permit kerja sah bekerja di sebuah kilang di Shah Alam.

“Akibat hujan lebat, operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 11 malam dan disambung semula jam 8 pagi tadi (semalam).

“Kira-kira jam 11 pagi, sepasukan polis menemui mayat mangsa dalam kawasan hutan kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjun,” katanya.

Sakaruddin berkata, berdasarkan siasatan mendapati mangsa masuk ke dalam hutan itu kerana mahu melarikan diri daripada suspek, namun maut kerana mengalami pendarahan serius.

Mangsa cedera di perut dengan kesan torehan pada sebelah kiri sehingga menyebabkan perutnya terburai. “Tiada unsur samun kerana dompet mangsa masih bersamanya. Berdasarkan penemuan permit kerja mangsa, polis menemui majikan, namun mangsa sudah dua tahun berhenti kerja dan bekerja di tempat lain,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan dendam menjadi motif mangsa ditikam, namun siasatan lanjut masih dalam siasatan.

Menurutnya, saksi kejadian gagal mengenal pasti suspek ekoran tiada nombor plat pada motosikal ditunggang mereka ketika kejadian.

Sehingga kini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan