Selasa, 30 November 2010

Pelajar sembunyi atas siling asrama selepas menyamun

KEMAMAN: Seorang pelajar institusi kemahiran dekat sini, gagal memboloskan diri daripada ditahan polis walaupun bersembunyi di atas siling asrama pusat pengajiannya itu sebaik menyedari diserbu pihak berkuasa yang menerima maklumat dia terbabit dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Geliga, di sini, semalam.

Dia yang berusia 20 tahun dikatakan tidak sempat membelanjakan hasil samun bersama rakan subahatnya berikutan pihak berkuasa lebih awal melakukan serbuan yang membawa kepada penemuan pelbagai jenis senjata termasuk pisau dan pistol selain kelengkapan lain dipercayai digunakan dalam kejadian samun yang dilaporkan kira-kira dua jam sebelum itu.

Dalam serbuan sama kira-kira jam 8.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki disyaki rakan subahatnya berusia 22 tahun yang tidak bekerja, selain menemui kira-kira RM1,000 dipercayai hasil rompakan disembunyikan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan ketika dihubungi memberitahu, satu sidang akhbar akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini berhubung kejadian berkenaan.

“Saya akan adakan sidang akhbar esok (hari ini). Kes baru saja dilaporkan dan pihak berkuasa masih mengumpul maklumat untuk meneruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro petang semalam.

Difahamkan, penahanan dua individu semalam adalah antara penyelesaian kes terpantas polis Terengganu setakat ini berdasarkan tindakan segera pihak berkuasa itu sejurus menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian samun di kedai berkenaan.

Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu bergegas ke lokasi dan menjalankan gerakan memburu sebelum mereka menerima gambaran awal berkaitan suspek.

Ekoran maklumat itu, polis menyerbu sebuah asrama di Kemaman dan menahan dua individu berusia 20 dan 22 tahun selain rampasan beberapa senjata dan kelengkapan yang disyaki digunakan ketika menyamun.

Harian Metro difahamkan, kejadian bermula kira-kira jam 6 pagi semalam apabila dua lelaki bersenjata dan bertopi keledar serta menutup muka, menyamun kedai serbaneka berkenaan sejurus meluru ke kaunter dan melarikan wang tunai kira-kira RM3,500.

Ketika kejadian, tiga pekerja berada dalam kedai berkenaan, namun kedua-dua suspek itu sempat melarikan diri sebelum orang ramai yang melihat kejadian menghubungi polis.

Sebaik menerima maklumat, anggota bilik gerakan melakukan hebahan segera menyebabkan polis bergegas ke lokasi kejadian dan melakukan soal-siasat dengan lebih pantas sebelum memperoleh gambaran kasar mengenai suspek.

Berdasarkan maklumat itu, satu serbuan dilakukan di asrama itu sebelum menahan dua lelaki dan merampas semula beberapa barangan seperti jaket, resit jualan, peti wang, topeng, sarung tangan, pisau, pistol buatan sendiri serta dua peluru./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan