Sabtu, 27 November 2010

Dua Lelaki Ke Tali Gantung Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Jumaat selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 466.38 gram dan monoacetylmorphines 374.83 gram, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu terhadap Teng Kok Seong, 47, dan Hoh Fook Sow, 49, yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Teng dan Hoh, yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kereta F/2 Zone C, Mid Valley, Brickfields, pada 6.45 petang 15 September 2006.

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata beliau bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa walaupun salah satu daripada tangan tertuduh kedua (Hoh) mengalami ketidakupayaan namun Hoh masih boleh mengangkat barang dan memandu.

Katanya mahkamah berpendapat kedua-dua tertuduh dalam keterangan pembelaannya gagal membuktikan mereka ke tempat kejadian untuk menemui seorang lelaki yang dikatakan untuk menawarkan pekerjaan, sebaliknya mempunyai niat untuk mengedar dadah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Baljit Singh Sidhu./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan