Selasa, 30 November 2010

Perompak kaget cabut

KUALA LUMPUR: Niat jahat seorang penjenayah bersenjatakan pistol merompak sebuah kedai emas bertukar lucu apabila dia kelam-kabut melarikan diri selepas pemilik kedai emas berkenaan menjerit meminta tolong.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, penjenayah veteran berusia lewat 50-an berkenaan pulang dengan tangan kosong selepas tergamam dengan tindakan pemilik kedai emas di Jalan Pudu, di sini, yang menjerit walaupun diacukan pistol.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 43 tahun bersama ayahnya sedang membuka pintu kedai emas terbabit untuk mulakan perniagaan.

“Ketika itu seorang lelaki bertubuh kurus tiba-tiba masuk ke dalam premis sebelum mengacukan pistol ke arah kedua-dua mangsa. Bagaimanapun, suspek yang menyangka mangsa akan kaku akibat ketakutan terkejut apabila kedua-dua mangsa lari melalui pintu belakang premis.

“Mangsa yang berjaya melarikan diri kemudian menjerit meminta tolong sambil mengatakan ada perompak mahu menyamun kedai emas terbabit. Tindakan itu menyebabkan penjenayah panik sebelum melarikan diri tanpa sempat mengambil barang kemas diidamkan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian segera membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berhubung kejadian./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan