SIBU: Seorang wanita yang meninggikan suara memarahi anaknya cedera dibelasah dengan sebatang besi oleh seorang lelaki yang berang selepas mendakwa tidurnya terganggu dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di sini, tengah hari kelmarin.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu dikatakan berpunca selepas mangsa yang juga warga Indonesia berusia 30-an memarahi anak perempuannya berusia tiga tahun menyebabkan suspek yang juga jirannya terjaga daripada tidur.
Menurut sumber, mangsa memarahi anaknya dengan menyuruh kanak-kanak berkenaan bermain di tempat lain beberapa kali menyebabkan suspek mula naik berang lalu mengambil besi kimpalan dan memukul wanita terbabit.
“Suspek yang juga rakan senegara mangsa memukul di belakang mangsa hingga menyebabkannya terjatuh.
“Mangsa cuba melarikan diri namun terus diserang lelaki terbabit hingga mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk kaki kanan,” katanya.
Mangsa yang tidak tahan dipukul kemudian menjerit sekuat hati hingga menarik perhatian penghuni lain yang datang membantu meleraikan pergaduhan itu.
“Beberapa jiran yang menyedari kejadian itu turut menghalang lelaki terbabit daripada terus memukul mangsa,” katanya.
Berikutan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum membuat laporan polis./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan