AMPANG: Hanya kerana tidak dibenarkan menonton televisyen, seorang lelaki mengamuk dan membelasah abang iparnya dengan menggunakan paip besi dan lampu kalimantang ketika berada di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Pandan, di sini, Ahad lalu.
Malah, mangsa hampir ditikam dengan pisau oleh adik iparnya itu tetapi bernasib baik kerana senjata itu patah ketika mangsa cuba mempertahankan diri.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika mangsa yang berusia 24 tahun berada di rumahnya dan sedang mendengar lagu melalui cakera padat (CD) yang dipasang sebelum didatangi adik ipar yang secara tiba-tiba mahu menonton televisyen. Bagaimanapun, mangsa tidak membenarkan kerana mahu mendengar CD menyebabkan adik iparnya naik angin sebelum menumbuk muka dan mengambil pisau mahu menikam mangsa.
Menurut sumber polis, mangsa bagaimanapun terselamat kerana kejadian itu dilihat rakannya yang kemudian menghalang adik iparnya daripada bertindak di luar kawalan.
“Mangsa kemudian menghalau adik iparnya itu keluar dari rumah namun ketika itu suspek yang masih tidak berpuas hati turun ke tempat parkir dan melepaskan geram dengan merosakkan motosikal mangsa.
“Tidak lama selepas itu, mangsa pula turun dan apabila motosikalnya rosak, dia pergi berjumpa suspek untuk bertanyakan sama ada dia yang merosakkan motosikalnya,” katanya.
Menurutnya, belum sempat menjawab soalan itu, adik iparnya terus mengambil sebatang paip besi dan menghayunkan ke kepala mangsa hingga mencederakannya.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu mangsa sempat merampas paip besi itu namun suspek mencapai pula lampu kalimantang sebelum memukulnya ke arah tangan mangsa.
“Tidak cukup dengan itu, suspek cuba menikam mangsa namun pisau digunakan patah ketika cuba mempertahankan diri. Suspek mengambil serpihan pisau itu sebelum menikam kepala mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, kejadian itu dilihat beberapa penduduk yang meleraikan pergaduhan itu sebelum mangsa menghubungi polis memaklumkan kejadian.
Namun, mangsa yang dalam keadaan cedera itu didatangi isterinya yang seolah-olah menyebelahi suspek sambil bertanyakan kepadanya mengapa dia belum meninggal dunia lagi.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, muka dan seluruh anggota badan hanya mampu berdiam diri walaupun kecewa dengan soalan yang dilemparkan isterinya itu.
“Berikutan kecederaan dialaminya, mangsa dihantar ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian. “Polis kini memburu suspek yang berusia 20-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan