JEMPOL: Kasih ibu membawa ke syurga, namun kasih sayang tidak bertempat seorang wanita warga emas terhadap anak bongsu kesayangan menghumbankan dirinya ke lokap polis.
Ini berikutan wanita berusia 64 tahun itu diberkas selepas dikatakan menyorok sejumlah dadah disyaki milik anaknya selepas rumah mereka di Air Hitam, dekat sini, diserbu polis pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad, berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol melakukan serbuan di rumah berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.
“Polis mengetuk pintu rumah berkenaan dan memperkenalkan diri untuk melakukan pemeriksaan, namun seorang lelaki yang berada di dalam rumah berkenaan dilihat melarikan diri melalui jalan belakang rumah.
“Lelaki terbabit bagaimanapun diberkas polis tidak jauh dari situ,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (KBSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Asisten Superintendan Norhisham Mustapar.
Beliau berkata, pemeriksaan polis terhadap lelaki berusia 32 tahun itu bagaimanapun tidak menemui dadah sebelum siasatan lanjut di dalam rumah berkenaan dan menemui kedua-dua ibu bapanya.
Menurutnya, pemeriksaan pada bapa suspek tidak menemui bahan terlarang, bagaimanapun ibu lelaki itu dilihat berada di dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, seorang anggota polis wanita yang turut menyertai operasi itu melakukan pemeriksaan badan terhadap warga emas terbabit.
“Wanita itu bagaimanapun tiba-tiba menyerahkan sebuah beg yang disembunyikan di dalam kain yang dipakainya selepas menyedari anggota polis ingin melakukan pemeriksaan terhadap dirinya.
“Pemeriksaan polis dalam beg itu menemui satu kotak rokok di dalamnya terdapat sembilan peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin,” katanya.
Mohd Sabri berkata, kedua-dua beranak itu ditahan dan siasatan awal polis mendapati lelaki terbabit baru dibebaskan dari sebuah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), pada Julai lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu dan sedang mengenal pasti dari mana suspek mendapat bekalan dadah berkenaan.
Harian Metro difahamkan, suspek anak bongsu daripada lima beradik dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap serta belum berkahwin.
Kedua-dua beranak itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.
Sehubungan itu, Mohd Sabri turut meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui mengenai pengedaran dadah supaya melarorkan kepada polis.
“Orang ramai mungkin mengetahui mengenai kegiatan haram berkenaan, jadi kami minta kerjasama mereka untuk menyalurkan maklumat,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan