KUANTAN: Seorang inspektor polis wanita terkejut apabila melihat seorang lelaki yang hanya berkain pelekat menceroboh masuk rumahnya sebelum lelaki berkenaan diberkas dalam kejadian di Taman Cahaya dekat Kuala Lipis, malam semalam.
Difahamkan, ketika kejadian jam 11.20 malam, inspektor polis itu tinggal bersendirian kerana suaminya tiada di rumah.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Mohd Haris Daud, berkata suspek dipercayai menceroboh masuk melalui tingkap bilik tidur ketika mangsa menonton televisyen di ruang tamu.
“Suspek yang pada mulanya menyangka rumah berkenaan tidak berpenghuni, bagaimanapun terkejut apabila mendapati mangsa berada di ruang tamu menyebabkannya melompat keluar melalui tingkap untuk melarikan diri.
“Bagaimanapun, mangsa yang menyedari tindakan suspek terbabit bertindak mengejarnya sebelum lelaki berkenaan berjaya dicekup di halaman rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Suspek berusia 47 tahun itu bagaimanapun tidak sempat melarikan barangan berharga dan dia ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan pecah rumah.
Dalam kes berasingan, seorang pengusaha sarang burung walet di Kubang Buaya di sini, kerugian kira-kira RM150,000 selepas hampir 30 kilogram sarang burung berkenaan yang disimpannya, hilang dalam kejadian Ahad lalu.
Mohd Haris berkata, mangsa yang berusia 43 tahun menyedari kejadian itu selepas pulang bercuti di Cameron Highlands bersama isterinya.
“Selepas pulang bercuti, mangsa terkejut mendapati sarang burung hilang disyaki dicuri individu dikenalinya sebelum membuat laporan polis,” katanya/hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan