Sabtu, 27 November 2010

Lelaki bunuh rakan dipenjara 12 tahun

KANGAR: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah kerana menyebabkan kematian seorang rakan di tepi Lebuhraya Changloon - Kuala Perlis, di Ulu Pauh, di sini, pada Mei tahun lalu.

Tertuduh yang berketurunan Siam, Phanomphon Keawnuprasit, 19, semalam dijatuhkan hukuman itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab selepas mengambil kira keseimbangan faktor mitigasi dan kepentingan awam dalam kes berkenaan.

Mohd Zaki ketika membacakan keputusan berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat berat dan kepentingan awam juga menuntut agar hukuman berat dikenakan ke atasnya mengikut peruntukan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

“Selepas mempertimbangkan beberapa faktor dan hujah dalam kes serta perbicaraan, saya memutuskan hukuman 12 tahun penjara ke atas tertuduh bermula tarikh tangkapan,” katanya ketika ditemu kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya kes, Azman Abu Hassan, memohon mahkamah menetapkan hukuman maksimum mengikut peruntukan Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu penjara 30 tahun.

Azman berbuat demikian selepas mengambil kira tahap keseriusan kes kerana tertuduh menyebabkan kematian mangsa, Careek Charol @ Endin Charol, 29 yang mempunyai isteri dan dua anak orang yang masih kecil.

Sebelum ini, Phanomphon anak bongsu daripada lima beradik dan berasal dari Kampung Panggas, Chuping, dituduh menyebabkan kematian Careek dalam satu pergaduhan membabitkan sembilan individu di tepi Lebuhraya Changloon - Kuala Perlis, berhampiran Ulu Pauh, antara jam 1.30 dan 1.50 pagi, pada 9 Mei 2009.

Dia yang diwakili Peguam Jamil Mohamed Shafie, dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan