KEJAM...mayat mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat.
SENTUL: Diikat, ditikam dan disembelih. Itulah azab ditanggung seorang lelaki yang dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dicampak di tepi jalan dengan lebih 23 kesan tikaman ditemui pada badannya di Kampung Batu, Kilometer 5, Jinjang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 50-an ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan gelap berhampiran tangki air, di kampung berkenaan.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa dipercayai seorang India Muslim, memakai baju kemeja belang, berseluar panjang, berselipar dan berbadan agak gempal.
“Ketika ditemui, tangan mangsa dalam keadaan terikat ke belakang dengan beberapa kesan tikaman di depan dan belakang badannya.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis daerah Sentul yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai dibunuh sejam atau dua jam dengan keadaan tangannya diikat sebelum mayatnya dicampak di kawasan tangki air itu. Lebih mengerikan terdapat kesan mangsa disembelih,” katanya.
Menurutnya, polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen diri ditemui pada mayat berkenaan.
“Kami tidak dapat kesan lagi motif pembunuhan mangsa sama ada kerana dendam atau disamun. Oleh itu saya minta sesiapa yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga tampil ke Balai Polis Sentul untuk memberi maklumat lanjut,” katanya.
Zakaria berkata, tiada senjata pembunuhan ditemui di tempat kejadian, malah pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain beberapa jam sebelum dicampak ke kawasan tangki air itu.
“Polis tidak menolak kemungkinan lebih dari seorang suspek terbabit. Motif masih lagi dalam siasatan dan mayat mangsa kini masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan