Sabtu, 29 Januari 2011

Wanita Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman Di Ulu Yam

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati dengan tikaman di belakang badannya di tepi jalan di Km 5.4 Jalan Sungai Tua, kira-kira 300 meter dari Simpang Sungai Kertas, Ulu Yam, dekat sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata mangsa, yang berusia dalam lingkungan 20an, ditemui orang awam dalam keadaan berlumurandarah pada pukul 3.01 pagi dan dipercayai telah ditikam sebanyak dua kali.

"Mangsa berkulit cerah dan rambut hitam paras bahu serta memakai seluar panjang berwarna krim, baju lengan panjang berwarna cerah dan bertudung coklat," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa ditikam semasa berada dalam sebuah kenderaan dan dia kemudian ditolak keluar dari kenderaan itu.

"Dipercayai mangsa sempat berjalan beberapa meter sebelum mati berdasarkan tompokan darah di sepanjang jalan. Bagaimanapun, tiada kesan pergelutan (ditemui)," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan