Selasa, 18 Januari 2011

Kes Rompak: Hakim Tidak Benarkan Bekas Pekerja Kilang Diikat Jamin

SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja kilang tidak pernah serik walaupun pernah dua kali didakwa atas kesalahan merompak pada tahun lepas dan hari ini dia sekali lagi menghadapi dua pertuduhan merompak di dua Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Muhamad Junaidi Alias, 20, juga gagal mendapatkan simpati Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob untuk membenarkan dia diikat jamin berikutan tertuduh pernah didakwa di mahkamah yang sama sebelum ini.

Muhamad Junaidi mengaku tidak bersalah bersama seorang lagi yang masih bebas merompak seorang jurujual, Lizasari Suwirman, 19, dengan mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit dan kad pengenalan di Jalan Besar Sri Batu Caves, Gombak, kira-kira 12.05 malam pada 9 Januari lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukannya serius.

Muhamad Junaidi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan alasan ibunya telah mendaftarkan dia di sebuah sekolah agama pondok di Tapah, Perak.

"Saya duduk belakang sahaja (semasa rompakan). Kawan saya yang tarik (beg tangan mangsa)...saya tidak sedar," katanya.

Wan Mohd Norisham yang kelihatan agak berang berkata: "Awak tidak sedar tetapi saya sedar bahawa awak pernah dituduh di mahkamah saya dan ketika itu awak marah mak awak supaya mengikat jamin awak. Ini kesalahan kali berapa ini?" dan tertuduh menjawab kali ketiga.

"Saya tidak benarkan jaminan. Jangan nak buat muka kasihan dengan saya. Kalau pertama kali dituduh kita boleh beri kelonggaran," kata Wan Mohd Norisham.

Beliau kemudian menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Muhamad Junaidi turut didakwa bersama-sama seorang pelajar Giat Mara, Ismaalif Putra Ismail, 22, merompak sebuah telefon bimbit milik rakan mereka, Mohammad Aiman Ramli, 23, di sebuah rumah di Kg Seri Gombak Indah, Gombak, pada 5.40 petang, 16 Disember tahun lepas.

Dalam kejadian itu mereka didakwa menggunakan topi keledar dan besi pengunci tayar serta telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Muhamad Junaidi bernasib baik apabila Hasbi membenarkan dia dan Ismaalif Putra diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan dan menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan