Rabu, 26 Januari 2011

Bekas penghantar surat dipenjara setahun

SHAH ALAM: Seorang bekas penghantar surat, yang kini hilang upaya akibat kecederaan di kaki, dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki Nota Perlindungan insurans palsu, tujuh tahun lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Mohd Abd Rahman Ahamad, 29.

Tertuduh boleh dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Mohd Abd Rahman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga proses rayuan selesai serta menaikkan jumlah jaminan daripada RM8,000 ke RM10,000.

Tertuduh didapati bersalah memiliki satu dokumen palsu iaitu Nota Perlindungan Tahan Insurans Malaysia Berhad yang merupakan satu dokumen cagaran berharga di Taman Sri Gombak dekat sini, kira-kira 8.15 malam pada 1 Julai 2004./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan