Sabtu, 15 Januari 2011

Rogol: Warga Pakistan dipenjara 17 tahun

KUALA LUMPUR 13 Jan: "Saya takkan maafkan s*** itu dunia akhirat!"
Itu sebahagian daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima oleh seorang pendakwa raya daripada seorang gadis yang diminta hadir di Mahkamah Sesyen di sini untuk memberitahu kesan ke atas dirinya akibat perbuatan bapa tiri yang merogolnya tujuh tahun lalu.

SMS yang diterima daripada mangsa semalam dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aishah KM Abu Bakar pada prosiding hari ini sewaktu memohon hukuman berat ke atas tertuduh yang merupakan warga Pakistan selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan merogol gadis tersebut.

Ekoran kesalahan yang dilakukannya, tertuduh berusia 28 tahun dan pernah bekerja di sebuah restoran dihukum penjara 17 tahun dan 12 kali sebatan.

Hukuman penjara diperintah berkuat kuasa mulai tarikh lelaki tersebut ditahan reman semula iaitu pada 11 September 2009.

Terdahulu, Hakim Fathiyah Idris ketika membacakan keputusannya menyatakan, pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidak ada merit yang boleh dipertimbangkan.

Ujarnya, pembelaan tertuduh juga tidak disokong oleh sebarang bukti yang boleh menyangkal kes pihak pendakwaan.

"Oleh yang demikian, saya sabitkan tertuduh bersalah atas tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya," ujar hakim tersebut.

Warga asing itu disabitkan kesalahan merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang, 31 Ogos 2006 di ruang tamu kediaman mereka di Brickfields di sini.

Dia kemudian mengulangi perbuatan keji itu di tempat yang sama kira-kira pukul 6.30 petang dan 1.30 pagi, pada 17 dan 21 September tahun yang sama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ketika diberi peluang merayu sebelum hukuman dijatuhkan, lelaki Pakistan yang kini sudah bercerai dengan ibu mangsa menyatakan, dia menanggung ibu bapa dan adik-beradiknya yang masih bersekolah.

Berikutan itu, menurutnya, hukuman penjara ke atasnya akan mengakibatkan keluarganya tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

Noor Aishah bagaimanapun memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira trauma yang terpaksa ditanggung mangsa sehingga hari ini./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan