Rabu, 26 Januari 2011

Disamun ketika buang air

KUANTAN: Gara-gara membuang air kecil di tepi jalan Jerangau-Jabor, seorang peniaga kerugian RM9,300 akibat disamun tiga lelaki yang tidak dikenali, kelmarin.

Mangsa yang berusia 29 tahun itu juga terpaksa bergelut dengan tiga lelaki sebelum mereka berjaya menyamun sebentuk cincin emas miliknya dan beg pinggang berisi wang tunai.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 ketika mangsa dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuantan.

“Mangsa yang memandu sendirian terpaksa memberhentikan kenderaan di tepi jalan berkenan kerana mahu membuang air kecil.

“Bagaimanapun, pada masa sama sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki empat lelaki berhenti di belakang keretanya sebelum tiga daripada mereka keluar dan merampas beg pinggangnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa bergelut beberapa minit sebelum penyamun terbabit berjaya melarikan barang kemas dan wang tunai miliknya.

Noor Asyikin berkata, mangsa tidak pasti senjata tajam yang digunakan penyamun terbabit tetapi dia menerima tiga jahitan di lengan kanan selepas di rawat di sebuah klinik di Jalan Beserah.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 4 petang dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan