Selasa, 11 Januari 2011

Tiga lelaki dituduh culik, rogol gadis

KUALA TERENGGANU, 10 Jan: Tiga lelaki termasuk dua adik-beradik tiri hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menculik dan merogol seorang remaja berusia 16 tahun pada Disember tahun lalu.

Mohd. Sabri Rosli, 27, bersama adik tirinya, Wan Hafiz Wan Omar, 21, dan Norizal Mamat, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan melarikan gadis berusia 16 tahun tujuh bulan itu dengan niat untuk mengurung mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Belukar Gorek, Bukit Payong, Marang di sini kira-kira pukul 4 pagi, 27 Disember tahun lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mereka bertiga juga dituduh merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Gelong Gajah, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu antara pukul 5.40 pagi dan 6.40 pagi pada hari sama.

Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Wan Hafiz turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu meliwat mangsa terbabit mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazliah Mahmud yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan tiada ahli keluarga tertuduh hadir bagi menjamin mereka.

Zainal Abidin kemudian menetapkan 10 Februari depan sebutan semula kes tersebut.

Pada 29 Disember tahun lalu, akhbar melaporkan nasib malang seorang remaja perempuan yang bukan saja menjadi mangsa culik malah turut dirogol tiga lelaki.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Empat dikatakan dilarikan dalam satu kejadian di Kampung Belukar Gorek, Bukit Payong, Marang ke sebuah rumah kosong di Jalan Pasir Panjang di sini sebelum dirogol bergilir-gilir./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan