Selasa, 4 Januari 2011

Lelaki tikam, simbah asid dipenjara, sebat

JOHOR BAHRU, 3 Jan: Seorang lelaki dihukum penjara 17 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba membunuh dan menyebabkan kecederaan parah dengan menyimbah asid terhadap Nurain Ashikin Jemadi, 18, pada pertengahan Disember lalu.

Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman itu selepas Habin Sulaiman, 42, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Nurain Ashikin kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah mengalami cedera parah akibat ditikam bertubi-tubi dengan pisau sebanyak 19 kali dan disimbah asid oleh lelaki terbabit.

Pada prosiding hari ini, Habin mengaku cuba membunuh Nurain Ashikin dengan menggunakan sebilah pisau untuk menikam dan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan iaitu asid cuka getah sehingga menyebabkan kecederaan parah serta boleh membawa maut.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di No. 41, Jalan Cemara 2, Kampung Baru, Sungai Redan, Kota Tinggi, dekat sini kira-kira pukul 9.15 pagi, 16 Disember lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Bagi tuduhan kedua, Habin didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Nurain Ashikin dengan menggunakan sebilah pisau untuk menikam dan asid cuka getah yang berbahaya kepada tubuh badan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Tuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natassa Zaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Salawati menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dari tarikh tangkap bagi tuduhan cuba membunuh manakala bagi tuduhan menyebabkan cedera parah, Habin dihukum penjara 17 tahun serta sebatan lima kali./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan