Ahad, 17 April 2011

Warga emas tawar RM1,000

KUALA KRAI: Seorang warga emas dari Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, dekat sini, meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang pemuda, juga anak angkatnya berusia 30 tahun, yang dikatakan melarikan barang kemas miliknya sejak dua minggu lalu. 

Warga emas terbabit, Esah Ngah, 72, mendakwa, kejadian berlaku awal pagi 1 April lalu, menyebabkan dia kerugian kira-kira RM12,000 selepas gelang tangan dan cincin emas miliknya itu dilarikan pemuda berkenaan. 

Esah yang kecewa dan terkejut dengan perbuatan anak angkatnya itu turut menawarkan ganjaran tunai RM1,000 kepada sesiapa yang berjaya mengesan lelaki terbabit dan menyerahkannya kepada polis. 

“Saya tak sangka dia sanggup buat begini sedangkan saya layan dia selama ini macam anak sendiri dan tidak pernah menghampakan permintaannya, termasuk bila dia minta duit belanja,” katanya kepada Sinar Harian. 

Esah berkata, kejadian cincin dan gelang tangannya dilarikan berlaku selepas anak angkatnya itu berpura-pura membantunya mencuci barang kemas terbabit dengan alasan berkarat. 

“Dia rendam cincin dan gelang dalam satu bekas, kemudian minta makcik ambilkan air tambah kerana katanya air tak cukup dan masa makcik pergi ambil air itulah dia larikan barang kemas berkenaan,” katanya. 

Esah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira sejam selepas kejadian itu dan dimaklumkan pemuda terbabit memang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi motosikal dan pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini. 

Mengulas lanjut, Esah berkata, dia mula mengenali pemuda berasal dari Sibu, Sarawak, Mohamad Azhar Abdul Aziz selepas pemuda itu datang ke rumahnya pertengahan tahun lalu kerana berkawan dengan seorang anak bongsunya, Kamarulzaman Senik. 

“Selepas itu, Azhar (Mohamad Azhar) minta nak tumpang dan sepanjang tiga bulan tinggal di rumah makcik, dia memang tunjuk perwatakan baik dan orang kampung pun puji bila tengok dia pakai jubah bila pergi masjid. 

“Makcik pun tak pernah berkira bila dia kadang-kadang minta duit belanja kerana sudah anggap dia macam anak sendiri, jadi memang tak sangka dia sanggup buat begini,” katanya. 

Mereka mengenali Mohamad Azhar yang menunggang motosikal Yamaha LC berwarna merah bernombor DBP 2939 iaitu kenderaan sama digunakan ketika melarikan barang kemas milik Esah, diminta menghubungi Kamarulzaman menerusi 013-9759058./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan