Selasa, 19 April 2011

Kakitangan MPK ke tali gantung

KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu bas, Zaiton Mohamad atau lebih dikenal sebagai ‘Kak Nab’ pada 16 April 2008. 

Hakim, Datuk Abd Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zulhisham Fadly Mohamad, 30, dari Kemaman selepas mendapati pihak pembelaan yang diwakili dari Tn Law Chamber Of Abdullah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah. 

Dalam penghakimannya, Abd Rahim menjelaskan seluruh keterangan saksi serta pendakwaan menjelaskan niat sebenar tertuduh adalah untuk membunuh mangsa dengan menanam mangsa bersama keretanya selepas memukul sehingga pengsan dalam satu pertengkaran antara mereka berdua. 

Katanya, sekiranya kejadian itu tidak berlaku dengan niat, tertuduh yang masih dalam keadaan waras dapat menyelamatkan mangsa dengan menghantarnya ke hospital kerana mangsa hanya pengsan selepas dipukul dan bukannya menanam mangsa bersama keretanya menggunakan jentolak. 

Katanya, laporan perubatan mendapati, mangsa meninggal disebabkan lemas tertimbus kerana hasil bedah siasat menemui pasir dalam kerongkong mangsa.

Dengan itu, mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pihak pendakwaan yang dijalankan oleh Pendakwaraya Jazamuddin Mahmod berjaya membuktikan prima facie kes tersebut.

Sejurus keputusan dibacakan, ahli keluarga tertuduh termasuk isteri dan dua anaknya menitiskan air mata kesedihan namun sebaliknya tertuduh masih boleh tersenyum tenang di dalam kandang tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh dituduh membunuh seorang pemandu bas yang juga ibu saudaranya pada 16 April 2008 di antara jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari di dalam kebun buah naga di Mukim Hulu Kemaman, Bukit Tebuan, Jalan Bukit Paka, Kemaman dengan bertindak menanam mangsa bersama keretanya di dalam lubang.

Dia menggunakan jentolak untuk menimbus mangsa yang ketika itu masih bernyawa selepas pengsan dipukul./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan