Khamis, 21 April 2011

Mayat warga emas disyaki dibunuh ditemui dalam bonet kereta

MELAKA: Mayat seorang lelaki warga emas dipercayai mati dibunuh ditemui dalam bonet sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Air Semubuk, Durian Tunggal, daerah Alor Gajah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata mangsa yang dikenali sebagai Tan Lock, 77, dari Peringgit Jaya dekat sini, ditemui pada 11.30 malam oleh anggota polis yang memeriksa kereta jenis Proton Saga BLM itu.

"Terdapat kecederaan di bahagian kepala disyaki dicederakan menggunakan senjata tajam dan mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam di tempat lain," katanya semasa dihubungi, hari ini.

Katanya bertindak atas aduan orang ramai yang mencurigai kehadiran kereta berkenaan dalam tempoh masa yang lama di kawasan itu sejak jam 6 petang semalam, sepasukan anggota polis dari balai polis berhampiran dihantar untuk memeriksa kereta terbabit dan menemui mayat itu.

Beliau berkata polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan mencari waris serta kenalan terdekat mangsa bagi membantu siasatan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan