Khamis, 21 April 2011

731 bunuh diri dalam masa 3 tahun

KUALA LUMPUR: Bagi tempoh tiga tahun sejak 2007, seramai 731 individu dilaporkan membunuh diri di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, angka itu membabitkan 545 lelaki dan 186 wanita, manakala Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia menunjukkan 321 kes membabitkan pasangan berkahwin, 29 bercerai, 34 balu dan 298 bujang.

“Bunuh diri boleh berlaku akibat beberapa penyebab berkait seperti faktor biologi, genetik, psikologi, sosioekonomi, budaya dan persekitaran dengan faktor kemiskinan, tiada pekerjaan, kegagalan akademik, hutang dan putus hubungan romantik juga menyumbang kejadian itu.

“Gangguan bunuh diri atau psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan substans dan alkohol serta gangguan personaliti juga mendorong kepada pelakuan bunuh diri,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Usha Nandhini di Dewan Negara, di sini hari ini.

Bagi mengatasi masalah itu, Rosnah berkata kementeriannya melaksanakan beberapa langkah pencegahan dan perawatan awal seperti kempen Promosi Kesihatan Mental dan Advokasi, menerbitkan risalah tentang kesihatan mental dan mewujudkan laman web memberi maklumat mengenai gejala tersebut.

Selain itu, kementerian juga membangunkan Pelan Strategik Kebangsaan Pencegahan Bunuh Diri, kata beliau.

“Kementerian juga menyediakan Garis Panduan Pelaporan Media tentang bunuh diri sejak 2005, iaitu kejadian bunuh diri tidak wajar dilaporkan di muka hadapan surat khabar,” katanya.

Mengenai rawatan susulan selepas pesakit mental disahkan stabil, Rosnah berkata perkhidmatan itu ditawarkan di 671 klinik kesihatan seluruh negara dengan 26 klinik menawarkan perkhidmatan pemulihan psikososial bagi meningkatkan fungsi psikososial pesakit mental.

“Ia bagi membolehkan pesakit tamat rawatan di hospital terus menerima rawatan di peringkat komuniti sebagai pesakit luar di klinik kesihatan berdekatan kediaman mereka,” katanya./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan