Khamis, 7 April 2011

Penjenayah Indonesia samun dua buah rumah

AMPANG: Lima lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan parang memecah masuk dua buah rumah berjarak 500 meter di Kampung Tengah di sini Jumaat lalu sebelum melarikan barang berharga serta wang tunai dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 3.30 pagi itu, suspek yang menggunakan penutup muka memecah masuk melalui pintu hadapan rumah sepasang suami isteri itu. 

Menurutnya, suspek mengumpil pintu hadapan rumah itu sebelum memecahkan pintu bilik mangsa. 

“Suspek kemudian mengacukan parang bagi menakut-nakutkan mangsa tetapi tidak mencederakan mereka sebaliknya mengikat kedua-duanya. 

“Kelima-lima lelaki itu menggeledah rumah itu sebelum melarikan barang berharga, barang kemas serta wang tunai yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Menurutnya, suspek kemudian memecah masuk rumah kedua yang jaraknya kira-kira 500 meter daripada lokasi pertama kira-kira jam 5 pagi. 

Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang pengawal keselamatan diikat bersama-sama enam lagi mangsa di dalam rumah itu. 

Amiruddin berkata, pistol jenis Magnum tanpa peluru milik pengawal keselamatan yang disangkakan hilang dikebas penyamun itu bagaimanapun akhirnya ditemui semula di dalam rumah itu. 

“Pada mulanya, pistol itu dikhuatiri dilarikan suspek tetapi akhirnya ia berjaya ditemui semula di dalam rumah itu juga,” katanya. 

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. 

Katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan