Rabu, 6 April 2011

Guru disamun depan rumah selepas pulang mengajar

TUMPAT: Igauan ngeri buat seorang guru perempuan apabila diacukan pisau oleh seorang lelaki tidak dikenalinya dalam kejadian samun di hadapan rumahnya sendiri menyebabkan kerugian RM1,200 di Kampung Jal Kechik, di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya beg tangannya lesap disamun lelaki terbabit. 

Guru terbabit yang baru pulang daripada mengajar di sebuah sekolah di Pasir Mas meletakkan keretanya berhampiran rumahnya dan kemudian meluru ke arah peti surat. 

Ketika mangsa sedang berjalan ke arah pintu rumahnya, tiba-tiba terdengar orang memanggilnya, namun mangsa terus berlari untuk membuka pintu, tetapi gagal. 

Lelaki terbabit mengacukan pisau ke arah dadanya sebelum melarikan beg tangan mengandungi sejumlah wang tunai, kad bank, telefon bimbit dianggar bernilai RM1,200. 

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi semalam berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cabang Empat, kira-kira jam 7.30 malam. 

Menurutnya, ketika kejadian itu mangsa mendakwa ternampak tiga lelaki berusia lingkungan 20-an menaiki motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC. 

Seorang daripada suspek terbabit katanya, turun daripada sebuah motosikal dan berpura-pura memanggil mangsa. 

“Mangsa yang ketika dalam ketakutan terus berlari ke arah pintu rumahnya, sebelum diacukan dengan pisau ke dadanya. 

”Sejurus selepas itu, suspek merampas beg tangan mangsa dan melarikan diri bersama dua lagi rakannya ke arah Kampung Banggol Tani,” katanya. 

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata. 

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi di balai polis berdekatan atau di talian 09-7257222./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan