JEMPOL, 13 Jun: Seorang remaja berusia 16 tahun melahirkan anak di dalam tandas rumah keluarga angkatnya di Feldajaya Selatan Raja Alias di sini semalam, selepas mengadu sakit perut.
Menurut bapa angkatnya yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 41, dia dimaklumkan isterinya mengenai keadaan anak angkatnya itu pukul 8.40 pagi.
"Isteri saya terdengar jeritan anak angkat kami yang ketika itu berada dalam tandas dan setelah diperiksa didapati dia telah melahirkan seorang bayi.
"Menurut anak angkat kami, dia tidak menyangka akan melahirkan bayi itu kerana kandungannya baru berusia tujuh bulan.
"Dia hanya merasa sakit perut seperti hendak membuang air tetapi tiba-tiba bayi itu jatuh ke dalam lubang tandas sebelum dia lekas mengambilnya," katanya di sini hari ini.
Man kemudian menghubungi ambulans dan melaporkan kejadian tersebut di balai polis berdekatan.
Katanya, bayi itu yang dilahirkan tidak cukup bulan meninggal dunia selepas beberapa minit dilahirkan.
Tambahnya, anak angkatnya itu mengaku terlanjur bersama teman lelakinya berusia 20 tahun dari Melaka tahun lalu dan kehadirannya di rumah mereka sejak seminggu lalu kerana ingin bercuti bersama adiknya.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bayi berkenaan telah meninggal dunia sebelum ambulans tiba di tempat kejadian.
"Mayat bayi dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk dibedah siasat. Remaja yang masih bersekolah dalam tingkatan empat itu difahamkan datang bercuti ke rumah keluarga angkatnya," katanya.
Katanya, polis akan memanggil remaja itu yang kini menerima rawatan di Hospital Jempol untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Kata Mohd. Sabri, kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan./utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan