AMPANG: Gara-gara berebut wanita, seorang pekerja pasar raya cedera terkena libasan besi kunci motosikal pada tangan kiri selain kepala dihentak topi keledar dalam pergaduhan dengan dua lelaki di depan sebuah pasar raya di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 32 tahun cedera di dahi dan tangan kiri akibat dipukul dengan objek terbabit selepas mereka bertengkar.
Difahamkan, mangsa berjalan kaki ke tempat kerja sebelum ditegur seorang lelaki bersama tiga wanita.
Menurut sumber, pertengkaran dipercayai berlaku akibat berebut wanita selepas suspek dipercayai berang apabila mangsa cuba memikat teman wanitanya.
“Suspek yang tidak berpuas hati dikatakan terus menyerang mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran kecil antara mereka.
“Pertengkaran mulut itu bertukar kepada tolak-menolak. Selepas itu, suspek menyuruh mangsa menunggunya sementara dia beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa yang tidak mempedulikan arahan suspek terus berjalan ke tempat kerjanya kerana sudah lewat.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di depan pasar raya itu, suspek muncul semula dan memanggil mangsa.
“Ketika itu, suspek turut membawa sebatang kayu dan besi kunci motosikal bertujuan mencederakan mangsa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, pergaduhan itu tercetus akibat berebut wanita./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan