AMPANG: Dua beranak boleh dianggap samseng apabila sanggup membelasah seorang wanita gara-gara perselisihan faham antara mereka di sebuah kedai jahit di Apartmen Mesra Ria, menyebabkan mangsa cedera di mata, pipi, siku dan belakang badan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 4.20 petang, mangsa yang berusia 36 tahun bersama anak lelakinya berusia belasan tahun pergi ke kedai itu untuk menempah baju, namun tiba-tiba datang seorang remaja berusia 13 tahun membawa kayu besbol dan terus menendang mangsa dari belakang.
Menurut sumber, mangsa bagaimanapun tidak melawan dan menasihati remaja itu agar tidak mengulangi perbuatan itu sebelum terus masuk ke dalam kedai.
“Mangsa dan anaknya kemudian keluar 15 minit selepas itu dan ketika sedang berjalan di kaki lima untuk pulang ke rumah, dia terserempak dengan ibu remaja terbabit.
“Mangsa terus menyapa ibu remaja itu dan memberitahu perbuatan dilakukan anaknya itu, namun tiba-tiba wanita terbabit naik angin dan terus menendang kaki mangsa dan menghalaunya,” katanya.
Sumber berkata, ibu remaja itu bukan saja menendang mangsa, malah turut menampar muka dan mengheretnya di atas jalan raya sebelum tiba-tiba remaja tadi turut campur tangan dengan menendang mangsa.
“Mangsa yang tidak tahan dipukul melawan dan berjaya melepaskan diri.
“Pertengkaran antara mereka hampir 10 minit itu disaksikan orang ramai situ tanpa ada yang datang meleraikannya,” katanya.
Pertengkaran terbabit akhirnya dileraikan apabila polis peronda tiba di kawasan itu./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan