KUALA LUMPUR, 13 Jun: Seorang bayi perempuan ditemui dalam beg plastik di belakang sebuah pusat hiburan di Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak di sini hari ini.
Seorang lelaki yang mahu keluar dari tempat letak kereta di bawah bangunan tersebut menyedari kehadiran bayi malang itu pada pukul 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bayi yang sempurna sifatnya itu ditinggalkan dalam beg plastik dengan hanya dibalut sehelai baju T berwarna merah.
Menurutnya, bayi masih bertali pusat itu disyaki berbangsa Melayu.
"Bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Seorang pengawal keselamatan, Nair Sahar, 19, memberitahu, dia menemui dalam beg plastik itu setelah dimaklumkan oleh seorang lelaki yang meletakkan keretanya di bawah bangunan tersebut.
Katanya, dia segera membuat pemeriksaan dan menemui bayi tersebut yang ditinggalkan di tepi laluan masuk ke tempat letak kereta berkenaan.
"Saya buka beg plastik berwarna putih berisi bayi itu dan meletakkan payung di atasnya bagi mengelak dia kepanasan.
"Saya memaklumkan kepada majikan yang kemudian menghubungi polis," katanya.
ketika ditemui di tempat bayi itu ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, bayi berkulit cerah dan comel itu tidak menangis semasa ditemui./utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan