AMPANG: Angkara dituduh menceroboh laman sosial bekas teman wanitanya, seorang lelaki cedera di mata selepas dipukul bapa dan teman lelaki wanita terbabit di kediamannya di Taman Mulia Jaya, di sini Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun berehat di rumah apabila didatangi dua lelaki yang mengaku teman lelaki dan bapa bekas teman wanitanya itu.
Menurut sumber, lelaki terbabit yang tersentak dengan kedatangan itu pada mulanya bertanya sebab mereka ke rumahnya dan terkejut apabila dituduh menceroboh laman sosial bekas teman wanitanya itu dengan memburukkan keluarga dan menyebarkan gambar lucah.
“Bagaimanapun, mangsa yang mendakwa tidak tahu menahu menafikannya dan menerangkan kemungkinan ada yang menyamar sebagai dirinya menggunakan akaun laman sosial itu.
“Namun, kedua-dua mereka tidak menerima alasan diberi mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya.
Sumber berkata, pertengkaran bertukar ganas apabila teman lelaki wanita itu mencabar mangsa supaya berlawan dengannya.
“Mangsa tetap memberitahu perbuatan itu tidak dilakukannya dan mahu diselesaikan cara baiknamun bapa bekas teman wanitanya masuk campur dengan memukulnya menyebabkan mata kanan mangsa berdarah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan