NUSAJAYA: Seramai 25 pengikut ajaran sesat Kumpulan Layar Bahtera termasuk 22 lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 40 tahun yang tinggal di sekitar Taman Rinting di sini, ditahan Jabatan Agama Johor (JAJ), awal bulan ini kerana masih mengamalkan ajaran berkenaan.
Ajaran sesat itu dikatakan disebarkan di rumah ketua kumpulan itu di Masai dan sebahagian besar pengikutnya juruteknik dan pekerja kontrak. Pengerusi Jawatan kuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ajaran itu diharamkan pada 2010 dan diketuai seorang lelaki berusia 40 tahun berasal dari Selangor.
“Pada masa sama, ketua kumpulan itu yang menggelar dirinya sebagai Nakhoda mendakwa dia mengetahui segala ilmu dan benda ghaib.
“Selain tidak mengamalkan sembahyang fardu lima waktu, Kumpulan Layar Bahtera juga dikatakan sudah mengumpul 40 pengikut sejak tiga tahun lalu.
“Lebih membimbangkan, ajaran berkenaan menyatakan semua manusia adalah ‘Allah’, malaikat ialah manusia yang taat, jin manusia dikurniakan ilmu yang tiada pada manusia biasa serta iblis manusia pula mereka yang sering melakukan kemungkaran,” katanya.
Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-12, di Kota Iskandar di sini, semalam.
Menurut Zainal, selain itu, Kumpulan Layar Bahtera juga mendakwa syaitan adalah manusia yang menjadi penghasut, Gunung Tursina di Timur Tengah pula sebenarnya adalah Gunung Ledang, malah pengikutnya turut mentafsir ayat suci al-Quran dan hadis mengikut cita rasa sendiri.
“Semua 25 pengikut ajaran sesat itu kini menantikan pendakwaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zainal berkata, satu lagi kumpulan ajaran sesat yang juga saki baki pengikut ajaran al-Arqam dikenali Global Ikhwan didapati cuba menyebarkan kembali ajaran Syiah di sebalik kegiatan perniagaan syarikat itu yang beroperasi di sekitar Tampoi.
“Sama seperti syarikat Rufaqa Corporation yang juga serpihan al-Arqam dan masing-masing diharamkan di negeri ini pada 2007 juga 1994, Global Ikhwan didapati cuba menghidupkan kembali al-Arqam.
“Bagi membendung fahaman itu, kita sudah bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memantau dan mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan mereka,” katanya.
Menurut Zainal, JAJ kini giat memantau saki baki dua kumpulan ajaran sesat berkenaan yang dikesan masih bergiat aktif di sekitar negeri ini terutama di sekitar Masai dan Johor Bahru.
“Kami bimbang dengan kewujudan kumpulan ajaran sesat itu, pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi mengesan saki baki pengikutnya,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan