Sabtu, 11 Jun 2011

Anggota polis, adik dituduh cabul, peras ugut remaja

AYER KEROH: Seorang anggota polis dan adiknya dihadapkan ke Mahkaamh Majistret di sini atas pertuduhan subahat mencabul dan peras ugut seorang remaja yang merupakan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

Namun tertuduh, Mohammmad Al-Hafiz Aziz, 23, yang merupakan anggota polis dan adiknya Helmi Aziz, 20 bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka. 

Selain mereka berdua, turut dituduh ialah Mohammad Mahat, 29, yang juga merupakan rakan mereka serta tidak mengaku bersalah pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya. 

Mohammmad Al-Hafiz menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat kesalahan cabul terhadap seorang perempuan Melayu berumur 19 tahun di Lorong Hajah Nyonya, Pasir Patih, Kampung Bachang, kira-kira jam 6.30 malam pada 5 Jun 2011. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 109/354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua yang turut dihadapi Helmi dan Mohammad, ketiga-tiganya didapati bersubahat sesuatu kesalahan pemerasan terhadap perempuan yang sama di Pangkin Taman Permainan Pantai Klebang kira-kira jam 5 pagi pada tarikh yang sama. 

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 109/384 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya. 

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron ketika pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 terhadap Mohammmad Al-Hafiz sementara RM5,000 bagi Helmi dan Mohammad. 

Pendaftar Mahkamah Majsitret, V Kanasan yang kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 diberikan kepada Mohammmad Al-Hafiz dan RM4,000 kepada Helmi dan Mohammad selain itu turut menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan