Sabtu, 26 November 2011

Polis serempak mayat dibakar

JOHOR BAHRU: Perasaan ingin tahu seorang anggota polis sebaik melihat kepulan asap tebal disangkanya pembakaran terbuka membawa kepada penemuan mengejutkan apabila mendapati ia sebenarnya pembakaran mayat seorang lelaki yang dilonggokkan dengan bahan binaan di atasnya di kawasan lapang Jalan Jati 2, Taman Nusa Bestari di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi, anggota polis berkenaan yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat kepulan asap tebal di kawasan lapang berkenaan dan walaupun menyangka ia daripada pembakaran terbuka, dia tetap ke tempat kejadian untuk memeriksa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Superitendan Razak Md Said berkata, anggota yang melakukan rondaan biasa di sekitar kawasan perumahan itu bagi mencegah jenayah, mendapati api berkenaan berpunca daripada longgokan kayu dan bahan pembinaan terbuang.

“Apabila meneliti objek yang terselindung di sebalik longgokan kayu itu, anggota polis berkenaan terkejut apabila menyedari terdapat mayat seorang lelaki dibakar.

“Melihat ada mayat, anggota berkenaan meminta bantuan seorang awam yang berada di kawasan berhampiran bagi membantunya memadam api berkenaan.

“Usaha mereka memadamkan api mengelak tubuh lelaki berkulit cerah itu terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Razak berkata, pihaknya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa dan motif kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, bagi membantu siasatan awal pihaknya mengambil keterangan tujuh lelaki warga asing yang tinggal di sebuah rumah kongsi berhampiran lokasi.

Bagaimanapun, katanya, semua warga asing itu mendakwa tidak sedar kejadian itu berlaku disebabkan nyenyak tidur ketika kejadian.

“Semua warga asing berkenaan membabitkan tiga pekerja Indonesia, seorang warga Bangladesh, seorang Myanmar dan dua pekerja dari China.

“Kami tidak pasti sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibakar di situ dan masih menunggu laporan bedah siasat bagi memastikan punca kematian dan sama ada mangsa diserang secara fizikal sebelum dibakar,” katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Selain itu, katanya, orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Hassan di talian 019-6000588./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan