Sabtu, 19 November 2011

Lelaki jatuh siling, wanita baju terbalik

GEORGETOWN: Tindakan seorang lelaki melarikan diri dengan memanjat siling bilik untuk mengelak dicekup gagal selepas dia jatuh tersungkur ke lantai dan mengalami kecederaan dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Lebuh Chulia, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 18 tahun itu bertindak demikian selepas terkejut dengan kehadiran sepasukan pegawai penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kira-kira jam 11.40 malam yang membuat serbuan dan pemeriksaan.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, ketika pintu bilik diketuk, pegawai penguat kuasa agama terdengar bunyi bising serta dentuman kuat dari dalam seperti bunyi ada orang cuba melarikan diri.

Beliau berkata, selepas menunggu beberapa minit dan pintu dibuka, pihaknya menemui lelaki berpakaian lengkap terduduk di lantai dalam keadaan tangannya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, turut ditemui serpihan siling bertaburan di lantai selain singki turut pecah sehingga menyebabkan air melimpah ke lantai.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui seorang gadis berusia 18 tahun yang memakai baju dalam keadaan terbalik.

“Selain itu, turut ditemui seluar dalam wanita dipercayai milik gadis berkenaan yang dibaling ke atas siling bagi mengelak dirampas dan pemeriksaan mendapati kedua-duanya pelajar di sebuah politeknik,” katanya.

Khairul Azman berkata, kedua-duanya ditahan dan seluar serta baju dalam milik gadis itu dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.

“Sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan