Rabu, 23 November 2011

Penjual telur cedera ditikam perompak

PASIR MAS: “Saya ditikam dengan pisau ketika berada dalam van, tetapi lelaki itu melarikan diri sebaik saya menjerit minta tolong,” kata warga emas, Ibrahim Mamat, 61, yang menerima beberapa jahitan di belakang badan akibat serangan ketika cubaan samun di Kubang Kerian, dekat Kota Bharu.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari Ahad lalu, penjenayah yang menyamar pelanggan nekad mencederakan Ibrahim dalam usaha merampas beg pinggang dipakai mangsa yang mengandungi wang tunai RM2,000. Ibrahim yang berniaga telur berkata, sebelum kejadian, dia baru selesai menghantar telur di sebuah kedai runcit di kawasan itu.

“Selepas menghantar telur, saya masuk ke dalam van dan tiba-tiba seorang lelaki datang membuka pintu van sambil bertanyakan telur dijual. Saya memberitahu telur itu dijual secara runcit atau borong. “Lelaki itu cuba meragut beg pinggang menyebabkan berlaku pergelutan lebih 10 minit sebelum dia menikam belakang badan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Petaling di sini, semalam.

Ibrahim yang turut cedera di tangan kiri dikejarkan orang awam yang melihat kejadian itu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, dia menerima rawatan semalaman di hospital berkenaan sebelum dibenarkan pulang kelmarin.

“Saya menghantar telur di merata tempat sejak lebih 12 tahun lalu. Ini kali pertama berdepan kejadian menakutkan seperti itu,” katanya.

Katanya, lelaki yang menikamnya dipercayai berusia 30-an dan melarikan diri bersama dua lagi lelaki menaiki sebuah Proton Iswara. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian, Kota Bharu./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan